Banyakkan pusat jagaan kanak-kanak - Shahrizat


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu kerajaan mewujudkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak di negara ini.

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, penubuhan lebih banyak taman bimbingan kanak-kanak (tabika), taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) adalah bagi membantu keluarga-keluarga di Malaysia dalam penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak.

Menurutnya, syarikat-syarikat perlu lebih serius dalam menyediakan kemudahan berkenaan kerana negara tidak boleh bergantung kepada pembantu rumah warga asing untuk selama-lamanya.

''Ini juga merupakan peluang ekonomi untuk pakar-pakar dalam bidang pengasuhan kanak-kanak untuk menceburi bidang ini,'' ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kerajaan Indonesia dilaporkan meminta gaji minimum RM800 sebulan dibayar kepada pembantu-pembantu rumah yang bekerja di Malaysia.

Menurut Shahrizat, semua pihak perlu bekerjasama dalam hal itu kerana kewujudan lebih banyak kemudahan itu akan memudahkan pasangan yang bekerja menguruskan anak-anak mereka.

''Kementerian meminta semua individu memberi bantuan kepada kerajaan kerana kemudahan ini perlu ditambah,'' ujarnya.

 

0 comments: